SPRM siasat Akbar Khan, serbu rumah dalam siasatan berkait Daim

SPRM siasat Akbar Khan, serbu rumah dalam siasatan berkait Daim

Pemegang saham utama BRDB Developments Sdn Bhd itu dilaporkan disoal siasat minggu lalu.

SPRM dilaporkan membekukan akaun peribadi dan perniagaan Akbar Khan, serta mengarahkannya mengisytiharkan aset dan pegangan kewangan keluarganya. (Gambar BRDB)
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan dan pemaju hartanah Akbar Khan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkait kes bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Memetik sumber SPRM dan peguam berkaitan, portal berita CNA melaporkan pemegang saham utama BRDB Developments Sdn Bhd itu ditahan sementara untuk disoal siasat minggu lalu selepas rumah dan syarikatnya di Kuala Lumpur diserbu.

CNA turut melaporkan, SPRM membekukan akaun peribadi dan perniagaannya, serta mengarahkannya mengisytiharkan aset dan pegangan kewangan keluarganya.

Akbar turut dijangka dipanggil semula untuk disoal siasat lagi bersama bekas sekutu rapatnya dalam masa terdekat.

Pejabat Akbar enggan mengulas butiran siasatan itu, namun seorang jurucakap berkata tumpuan utama mereka masih “untuk memastikan siasatan yang adil dijalankan”.

Siasatan dilaporkan tertumpu pada pemulangan saham beku bernilai USD4 bilion (RM18.75 bilion) yang pernah tersenarai dalam Central Limit Order Book (CLOB), pasaran kaunter Singapura yang berdagang terutamanya saham Malaysia, namun kini tidak lagi berfungsi.

Selain itu, siasatan turut dijalankan berhubung urusan pertukaran pegangan saham di syarikat konglomerat Multi-Purpose Holdings Bhd (MPHB) pada akhir 1990-an dan 2000.

SPRM turut dilaporkan menyiasat pinjaman USD140 juta unit MPHB kepada firma British Virgin Islands, Eightybridge United SA dan Strykers Development Inc, yang seterusnya digunakan untuk memperoleh blok kawalan saham MPHB daripada taikun Lim Thian Kiat.

Bulan lalu, Daim didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 71 aset kepada SPRM, termasuk 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.

Sementera itu, isterinya, Naimah Khalid, minta dibicarakan atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM yang menghendaki aset diisytihar.

Keluarga itu memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM berhubung hal ehwal mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.