
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata suspek berusia 43 dan 26 tahun ditahan bersama tujuh lagi warga Thailand yang lain dalam beberapa siri serbuan oleh polis negara itu di Sadao, Songkhla dan Bangkok.
Katanya sindiket penipuan pelaburan dikenali ‘Nichare’ itu disyaki memperdaya lebih 50 mangsa penipuan pelaburan yang mengakibatkan kerugian 800 juta baht atau RM105.26 juta.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dari Polis Thailand, rakyat Malaysia itu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat panggilan dan pemeriksaan mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau.
“Hasil semakan awal kita, seorang daripadanya adalah dalang utama kegiatan penipuan pelaburan Nichare di negara ini dan Thailand.
“Mereka didapati menggunakan jaringan penipuan yang sama dalam memerangkap mangsa di Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Kemboja,” katanya pada sidang media.
Menurut Ramli, sejak September tahun lalu sehingga 12 Mac, sebanyak 70 laporan telah diterima membabitkan penipuan pelaburan Nichare dengan nilai kerugian lebih RM14 juta didalangi suspek terbabit.
“Daripada jumlah itu polis telah membuka 52 kertas siasatan selain mengenal pasti dan mengesan saki-baki rangkaian suspek di negara ini.
“Malah jalinan erat dan perkongsian maklumat antara PDRM, Polis Diraja Thailand dan Polis Antarabangsa (Interpol) dijangka dapat membanteras sindiket penipuan ini dalam masa terdekat,” katanya.