Kes saman syarikat barangan kemas Lebanon, permohonan Rosmah didengar 29 Mei

Kes saman syarikat barangan kemas Lebanon, permohonan Rosmah didengar 29 Mei

Rosmah Mansor mahu memasukan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.

Syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL mengemukakan saman terhadap Rosmah Mansor berhubung 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta yang didakwa hilang ketika berada dalam pemilikan beliau.
KUALA LUMPUR:
Permohonan Rosmah Mansor untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadapnya akan didengar pada 29 Mei depan.

Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar berkata tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Norhaina Zulkifli ketika pengurusan kes itu hari ini.

“Mahkamah juga memerintahkan Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan afidavit jawapan bagi pihak kerajaan dan ketua polis negara sebelum 26 Mac.

“Anak guam saya perlu mengemukakan afidavit jawapan sebelum 16 April. Perbicaraan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ong Chee Kwan,” katanya ketika dihubungi.

Ini berhubung saman syarikat barangan kemas antarabangsa berkenaan yang menuntut RM67.4 juta terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Tun Razak itu.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Dalam permohonannya untuk memulakan prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan, Rosmah menyatakan barang kemas yang dipertikaikan itu tidak berada dalam milikannya dan telah dirampas pihak berkuasa.

Sebagai defendan Rosmah boleh memulakan tindakan ini terhadap pihak ketiga yang bukan merupakan sebahagian daripada tuntutan utama, bagi menuntut sumbangan, ganti rugi atau sebarang remedi yang dituntut Global Royalty.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.