Mahkamah Rayuan kekal sabitan 6 lelaki bunuh Kevin Morais

Mahkamah Rayuan kekal sabitan 6 lelaki bunuh Kevin Morais

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan boleh dirayu untuk mengetepikan sabitan itu.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta rasminya. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki, termasuk seorang bekas doktor tentera, atas sabitan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais lapan tahun lalu.

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan boleh dirayu dari segi undang-undang dan fakta untuk mengetepikan sabitan itu.

Katanya, fakta mendedahkan pembunuhan itu dirancang dengan rapi dan ada cubaan menyembunyikan bukti seperti membakar kereta mangsa.

“Pembunuhan itu amat mengerikan dan fakta kes boleh dianggap kejadian luar biasa daripada yang biasa-biasa,” katanya yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki itu pada 10 Julai 2020 yang didapati bersalah membunuh Morais pada 4 Sept 2015, di suatu tempat antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya di Selangor.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta rasminya. Mayatnya ditemui dalam tong dram berisi simen di Subang Jaya 12 hari kemudian.

Mahkamah Tinggi memutuskan bekas pakar patologi, R Kunaseegaran, pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran dan empat penganggur, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath serta S Nimalan mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Hadhariah berkata, bukti pihak pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan mengikut keadaan dan keterangan G Gunasekaran.

Gunasekaran didakwa bersama enam lelaki itu, tetapi pihak pendakwaan kemudian menarik balik kes terhadapnya.

Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana menyembunyikan mayat Morais dan melupuskan nombor pendaftaran kereta mangsa.

Pihak pendakwaan berhujah beberapa tertuduh yang menaiki sebuah kereta menyebabkan kemalangan dengan kenderaan dipandu Morais ketika dia meninggalkan rumahnya.

Hadhariah berkata, hakim perbicaraan bertindak betul memerintahkan mereka membela diri berdasarkan prinsip “yang terakhir dilihat bersama”, tanpa Kunaseegaran.

“Seorang pakar patologi forensik memberi keterangan lebih daripada seorang individu terbabit dalam jenayah itu dan si mati meninggal dunia akibat lemas.”

Hadhariah berkata, perayu membangkitkan alasan tidak mengenali si mati, tiada motif melakukan jenayah itu dan merupakan orang baik.

Tetapi, katanya, Gunasekaran saksi yang jujur dan pembelaan perayu difikirkan kemudian.

“Kunaseegaran mempunyai motif untuk membunuh si mati, dan bakinya yang terbabit dalam jenayah itu menerima arahan daripadanya (Kunaseegaran).”

Peguam N Sivananthan mewakili Kunaseegaran, M Manoharan mewakili Dinishwaran, Kitson Foong mewakili Ravi Chandran, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Vishwanath serta Amer Hamzah Arshad mewakili S Nimalan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar, Fairuz Johari dan Fuad Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan.

Sivananthan, bercakap bagi pihak peguam, memberitahu wartawan bahawa anak guam mereka berhasrat memfailkan rayuan, dengan notis rayuan akan difailkan hari ini.

“Kami menjangkakan pendengaran di Mahkamah Persekutuan akan ditetapkan tidak lama lagi kerana panel hakim hari ini membayangkan alasan bertulis sudah siap.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.