Boikot akan jejas pekerja, perniagaan Malaysia, kata pakar

Boikot akan jejas pekerja, perniagaan Malaysia, kata pakar

Mereka memberi amaran kesan domino mengakibatkan kehilangan kerja di sepanjang rantaian bekalan.

Pengasas Berjaya Corp Bhd, Vincent Tan menggesa orang ramai berhenti memboikot Starbucks Malaysia kerana hanya menjejaskan rakyat tempatan bekerja di situ. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakar memberi amaran boikot produk dikaitkan dengan AS susulan konflik Israel-Hamas mungkin “menyakitkan” pekerja dan perniagaan Malaysia, apabila syarikat seperti Starbucks Malaysia kehilangan pelanggan sejak beberapa bulan lalu.

Arulkumar Singaraveloo, CEO Malaysia HR Forum, berkata boikot perniagaan seperti itu mampu mengakibatkan kesan domino, iaitu kehilangan pekerjaan, dengan pengurangan volum perniagaan mungkin menjejaskan pekerja serta syarikat tempatan di sepanjang rantaian bekalan.

Arulkumar Singaraveloo.

Katanya, ini seterusnya akan memberi kesan terhadap kadar pengangguran yang ketika ini mencapai kadar prapandemik 3.3%, apabila syarikat dan pembekal mungkin terpaksa memberhentikan pekerja sekiranya boikot berpanjangan.

“Walaupun pemberhentian kerja sementara bersifat minimal untuk segelintir pihak, seperti penghantar makanan, pekerja kolar biru lain mungkin berdepan cabaran mendapatkan kerja baharu dengan tahap gaji sama,” katanya kepada FMT.

Pengasas Berjaya Corp Bhd, Vincent Tan, baru-baru ini menggesa orang ramai berhenti memboikot Starbucks Malaysia kerana tindakan itu hanya menjejaskan rakyat tempatan yang bekerja di situ.

Vincent Tan.

Taikun itu berkata, hampir 85% pekerja Starbucks Malaysia beragama Islam dan tiada warga asing diambil bekerja di ibu pejabat syarikat itu.

Kempen boikot tercetus susulan konflik Israel-Palestin itu memberi kesan besar terhadap Bfood kerana Starbucks Malaysia menyumbang 90% daripada pendapatan kumpulan itu.

Pelabur dalam saham Bfood juga dinasihatkan menjual saham mereka susulan boikot terhadapnya, menurut nota penyelidikan RHB Bank.

Pakar ekonomi, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, boikot mampu mengakibatkan ketaktentuan terhadap masa depan pekerja di syarikat terjejas, khususnya dalam industri makanan dan minuman.

Walaupun perbelanjaan pengguna industri kekal menggalakkan, katanya, tawaran pekerjaan untuk pekerja berkenaan mungkin tidak sebaik dahulu disebabkan peningkatan bekalan tenaga kerja akibat pembuangan pekerja berpunca daripada boikot.

Yeah Kim Leng.

“Jika ada peningkatan bekalan pekerja, majikan tidak akan merasa tertekan untuk membayar gaji lebih tinggi kerana dapat memilih daripada pemohon berbeza. Mereka (pekerja) mungkin mendapat gaji lebih rendah.”

Menurutnya, boikot ini juga akan membawa kepada kehilangan pendapatan di sepanjang rantaian bekalan apabila pekerja mungkin tidak menerima bonus atau kenaikan gaji kerana pendapatan perniagaan berkurangan.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Norsyahrin Hamidon bagaimanapun berkata, boikot ini tidak semestinya menjejaskan pekerja memandangkan pilihan pengguna mungkin menguntungkan pesaing syarikat diboikot.

Katanya, dalam pada pengguna mencari alternatif kepada perniagaan diboikot, permintaan untuk pekerja bagi menyokong syarikat alternatif ini mungkin meningkat.

“Apabila orang ramai tidak memilih kopi A, peminat kopi akan memilih kopi B, C atau D. Ini akan meningkatkan perniagaan (syarikat alternatif) dan meningkatkan permintaan, jadi mereka akan memperluaskan perniagaan serta mengambil lebih ramai pekerja.

“Ini bererti sekiranya A ditutup, itu bukan pengakhirannya disebabkan prinsip ekonomi berkait bekalan dan permintaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.