Bekas pegawai SPRM bidas pemimpin politik enggan lapor dakwaan rasuah

Bekas pegawai SPRM bidas pemimpin politik enggan lapor dakwaan rasuah

Abdul Razak Idris berkata Ahli Parlimen sebagai pembuat dasar wajib lapor tawaran rasuah diterima mereka.

Abdul Razak Idris berkata Ahli Parlimen bertanggungjawab besar untuk melaporkan tawaran rasuah kepada mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas tindakan segelintir pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen yang tidak membuat laporan berhubung dakwaan tawaran rasuah diterima mereka.

Bekas pengarah siasatan SPRM Abdul Razak Idris berkata beliau secara peribadi sedih melihat Ahli Parlimen mengambil mudah kewajipan melaporkan kegiatan rasuah seperti terkandung dalam undang-undang negara.

Tegasnya, melaporkan rasuah adalah tanggungjawab besar wakil rakyat kerana mereka terbabit dalam proses menggubal undang-undang.

“Mereka memaklumkan bahawa ditawarkan rasuah namun tidak melaporkan perkara itu kepada agensi penguat kuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya ketika dihubungi.

Razak memberi amaran Malaysia berdepan kesan buruk jika mempunyai pemimpin tidak mempunyai kepentingan serta tanggungjawab melaporkan perbuatan rasuah, sekali gus gagal memahami konsep undang-undang mereka sendiri gubal.

Jelasnya, menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu jika mereka tidak melaporkan sebarang tawaran rasuah diterima mereka.

“Ini contoh tidak baik kepada masyarakat kerana kita mahu masyarakat terdidik untuk melaporkan rasuah dan jika pemimpin pun hanya sekadar cakap sahaja, bagaimana kita dapat mewujudkan masyarakat melawan rasuah,” katanya.

Kenyataan itu menyusul dakwaan dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan ketika berucap di Dewan Rakyat pada 28 Feb lalu, mendakwa diugut dan ditawar habuan supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.