
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata pihaknya mengesan satu rakaman video di X yang tular pada Ahad lalu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal wanita melakukan aksi bahaya di jalan raya.
“Bertindak atas maklumat, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Trafik Daerah Melaka Tengah mengesan dan menahan tiga remaja perempuan itu di sekitar Bandar Melaka, semalam.
“Semua remaja yang masing-masing berusia 16, 17 dan 18 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Rembau bersama motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, soal siasat mendapati remaja terbabit dalam perjalanan pulang secara konvoi dari kedai makan di Serdang, Selangor, dan melakukan aksi berbahaya itu kerana terpengaruh antara satu sama lain
Katanya, ketiga-tiga remaja tersebut mengaku ahli sebuah kelab motosikal wanita di Melaka dan berasal dari negeri itu.
“Polis mengeluarkan tujuh saman terhadap remaja berkenaan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.