Tiada bukti Najib pulangkan USD120 juta, kata saksi

Tiada bukti Najib pulangkan USD120 juta, kata saksi

Pakar pemulihan aset Angela Barkhouse berkata beliau tidak melihat sebarang dokumen yang mencadangkan USD120 juta dikembalikan kepada Tanore pada 2013.

SRC International mengemukakan saman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil kerana pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu.
KUALA LUMPUR:
Seorang pakar pemulihan aset memberitahu Mahkamah Tinggi tiada bukti menunjukkan Najib Razak “mengembalikan” wang berjumlah USD120 juta dari SRC International kepada firma yang berdaftar di Singapura, Tanore Finance Corporation.

Angela Barkhouse berkata beliau tidak melihat sebarang dokumen yang mencadangkan wang USD120 juta dikembalikan kepada Tanore pada 2013.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib mencadangkan kepada Barkhouse bahawa wang itu dipulangkan kepada Tanore menerusi penebusan.

“Adakah kamu bersetuju USD120 juta dikembalikan kepada Tanore?,” soalnya.

Angela Barkhouse.

“Saya tidak melihat bukti itu. Ini adalah isu yang berasingan,” kata Barkhouse.

SRC International menyaman bekas perdana menteri itu dan bekas CEO syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Saman itu pada mulanya menamakan enam bekas pengarah sebagai defenden.

Bagaimanapun, nama Ismee Ismail, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Suboh Yasin, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah Rashidi Che Omar digugurkan sebagai defenden, tetapi menamakan Najib sebagai pihak ketiga.

Syarikat itu juga menuntut Najib mengembalikan USD120 juta dan Nik Faisal membayar USD2 juta.

Sementara itu, Barkhouse memberitahu mahkamah bahawa Tan Kim Loong – yang mengawal Tanore – adalah pembantu Low Taek Jho, berdasarkan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Bagaimanapun, Barkhouse berkata beliau tidak terbabit dengan kes DoJ itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz disambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.