Permintaan tinggi Ramadan, cubaan seludup 10 tan minyak masak subsidi tumpas

Permintaan tinggi Ramadan, cubaan seludup 10 tan minyak masak subsidi tumpas

Pihak berkuasa terus tingkat pemantauan khususnya di sempadan Kelantan-Thailand.

Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata dua lelaki berusia 30an ditahan disyaki cuba seludup 10,175kg minyak masak subsidi, semalam. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kastam Kelantan menahan dua lelaki disyaki cuba menyeludup 10,175kg minyak masak bersubsidi tempatan ke negara jiran, dianggarkan RM20,350 semalam.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata kedua-dua lelaki berusia 30an itu ditahan ketika menaiki lori jenis Isuzu berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat, pada 4 pagi.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan sejak 14 hari lalu oleh pasukan operasi bahagian penguatkuasaan Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menemukan sebanyak 595 kotak minyak masak dianggarkan bernilai RM20,350…dipercayai dibawa dari Ipoh, Perak untuk diseludup ke negara jiran.

“Siasatan kes ini masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik barang dagangan yang telah dirampas iaitu minyak masak peket bersubsidi tempatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan.

Wan Jamal Abdul Salam, berkata hasil soal siasat mendapati suspek menerima upah RM300 untuk menghantar bekalan minyak masak itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail, berkata KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan iaitu di Rantau Panjang, Tumpat, dan Tanah Merah berikutan jangkaan permintaan tinggi minyak masak paket bersubsidi dari negara jiran pada Ramadan.

Katanya, faktor halal dan murah menyumbang kepada kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.