
Beliau membuat gesaan itu ketika merujuk laporan FMT hari ini berhubung cadangan penganjuran Formula E-Prix di Malaysia.
“Saya telah menghubungi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) yang akan keluarkan kenyataan (dalam masa) terdekat untuk membetulkan fakta dalam laporan kolumnis tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, FMT memetik sumber melaporkan Malaysia didakwa dilihat ketinggalan dalam saingan dengan Thailand untuk menjadi tuan rumah final Formula E-Prix tahun depan, walaupun ia mendapat tawaran itu dahulu.
Formula E difahamkan mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur finalnya setiap tahun hingga 2030, tetapi kerajaan belum memberi jawapan terhadap tawaran itu.
Menurut sumber, Ketua Pegawai Eksekutif Formula E, James Dodd berhasrat menemui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bulan lalu untuk membincangkan acara itu dan manfaatnya.
Bagaimanapun, kos penganjuran acara itu, yang kini masuk musim ke-10, tidak diketahui.
Berita kemungkinan Malaysia terlepas peluang menganjurkan acara itu menyusul kontroversi berhubung cubaan penganjuran Sukan Komanwel 2026 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Yeoh memaklumkan isu penganjuran Sukan Komanwel 2026 akan dibawa ke Jemaah Menteri minggu depan untuk dibincangkan.
“Jadi saya tak mahu mendahului perbincangan Kabinet, ada banyak maklum balas di luar sana yang beri maklum balas masing-masing.
“Tapi saya bagi jaminan kerajaan ini sangat bertanggungjawab dengan duit rakyat dan kita akan pastikan setiap perbelanjaan ini mesti mendatangkan hasil kepada negara dan akan beri pertimbangan sewajarnya untuk perkara ini,” katanya.