Formula E: Rakan kongsi tempatan nanti jawapan PMO

Formula E: Rakan kongsi tempatan nanti jawapan PMO

Sports Tech Holding berkata perancangan acara itu pada peringkat lanjutan selepas hak bersyarat diperoleh daripada Formula E awal tahun ini.

Formula E difahamkan menjemput Kuala Lumpur menjadi penganjur untuk perlumbaan terakhir pada setiap tahun sehingga 2030. (Gambar Formula E)
PETALING JAYA:
Rakan kongsi tempatan Formula E mengesahkan sedang menanti maklum balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk membincangkan penganjurannya, rentetan timbul kebimbangan acara berprestij itu mungkin “dirampas” Thailand.

Dalam kenyataan kepada FMT, CEO Sports Tech Holding Wan Agyl Wan Hassan berkata perancangan untuk menganjurkan final Formula E-Prix di Kuala Lumpur pada tahun depan “memang di peringkat lanjutan” selepas hak bersyarat diperoleh daripada Formula E, awal tahun ini.

Wan Agyl Wan Hassan.

Formula E, atau rasmi dikenali sebagai ABB FIA Formula E World Championship, adalah pertandingan sukan permotoran kereta lumba elektrik tempat duduk tunggal.

“Dalam komitmen kami bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, kami baru-baru ini telah menghubungi PMO, memanjangkan surat rasmi daripada Formula E, dengan sasaran untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan peluang perlumbaan itu secara terperinci.

“Kami buat masa ini menantikan maklum balas, dan mengharapkan hasil positif,” katanya.

Wan Agyl berkata pihaknya turut mendekati Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk meletakkan acara itu sebagai inisiatif penggalak pelancongan selain Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk membantu kerajaan mempercepatkan agenda penggunaan kenderaan elektrik.

“Kami bekerja rapat dengan kerajaan untuk memastikan perkara ini berlaku dan semua masih di peringkat awal.”

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan bahawa Malaysia mungkin hilang peluang kepada Thailand untuk menganjurkan acara itu tahun depan.

Formula E difahamkan mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur untuk perlumbaan terakhir pada setiap tahun sehingga 2030, tetapi kerajaan belum memberi jawapan terhadap tawaran itu.

Hannah Yeoh.

Susulan laporan itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau telah menghubungi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia yang akan mengeluarkan kenyataan bagi “membetulkan fakta” dalam laporan berkenaan.

Wan Agyl berkata: “Saya hargai kebimbangannya dan memahami pentingnya komunikasi jelas serta berfakta mengenai acara penting seperti itu.”

“Sebagai penganjur acara ini, Sports Tech Holding komited sepenuhnya untuk memastikan kejayaannya, beroperasi dengan ketelusan dan kolaborasi rapat bersama semua pihak berkepentingan termasuk badan kerajaan tempatan dan kebangsaan.”

Beliau berkata, perbincangan dengan Formula E “membuahkan hasil” dan “memfokuskan terhadap logistik, aspek kemampanan, dan potensi manfaat luas hasil penganjuran acara seperti itu di Kuala Lumpur.”

“Manfaat ini termasuk mempamerkan komitmen Malaysia terhadap mobiliti bandar yang mampan, meningkatkan imej global bandar raya kita, dan merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan dan pendedahan antarabangsa.”

Wan Agyl berkata, beliau menantikan perbincangan lanjut dengan Yeoh, kementeriannya, serta semua pihak relevan “untuk menyelaraskan usaha kita dan memaksimumkan manfaat demi Malaysia”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.