Didakwa tipu urusan beli Mustang, Mercedes, penjual kereta mengaku tak salah

Didakwa tipu urusan beli Mustang, Mercedes, penjual kereta mengaku tak salah

GK Jaya Sharma didakwa memperdayakan peniaga makanan berusia 72 tahun sehingga mendorong mangsa membayar RM122,000.

GK Jaya Sharma, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
KUALA LUMPUR:
Seorang penjual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu warga emas berhubung urusan pembelian kereta mewah jenis Mustang dan Mercedes E250 Coupe tiga tahun lepas.

GK Jaya Sharma, 47, didakwa menipu dengan memperdayakan peniaga makanan Mohd Robiei Wong Abdullah, 72, untuk mempercayai tertuduh boleh menawarkan dua kereta itu sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran sebanyak RM122,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala pada 11 Mac 2021

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam B Sarathbala yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum antara RM2,000 hingga RM3,000 dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, pemandu e-panggilan Muhammad Hafiz Jamil, 39, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menawarkan pelaburan saham tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan di sebuah premis di Solaris Mont Kiara 2 pada 26 Dis 2019.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.