DAP bidas PAS ‘politikkan’ isu kantin sekolah

DAP bidas PAS ‘politikkan’ isu kantin sekolah

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata ada banyak sebab untuk kantin sekolah kekal dibuka sepanjang Ramadan.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menjawab Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya yang Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mencetuskan kontroversi ‘tidak perlu’ apabila mengarahkan kantin sekolah terus beroperasi sepanjang Ramadan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi daripada DAP Syahredzan Johan mengkritik sayap ulama PAS kerana menuduh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mencetuskan kontroversi “tidak perlu” dengan menyatakan kantin sekolah akan terus beroperasi sepanjang Ramadan.

Syahredzan berkata, ada banyak sebab kantin sekolah terus dibuka termasuk kehadiran pelajar bukan Islam dan guru yang tidak berpuasa.

“Kita tidak seharusnya lupa mengenai insiden dilaporkan sebelum ini di mana anak-anak bukan Muslim terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat yang tidak sesuai sewaktu bulan puasa.

“Adakah pemimpin PAS seperti Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan ketua Dewan Ulama PAS itu berkata, Kementerian Pendidikan perlu menumpukan usaha mendidik pelajar Islam mengenai kepentingan berpuasa dan pelajar bukan Islam menghormati amalan itu.

“Perkara itu boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka sepanjang Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati Ramadan sejak alam persekolahan,” kata Ahmad.

Katanya, pelajar bukan Islam boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan dibenarkan.

“Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan,” katanya.

Ahmad juga menuduh Fadhlina gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati Ramadan

Syahredzan berkata, PAS dan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi membuktikan pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

“Jelas bahawa mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan.

“Saya menggesa PAS dan Perikatan Nasional berhenti mempolitikkan kantin sekolah anak-anak kita. Perkara seperti ini tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.