Pemandu treler ditahan selepas 2 pelancong asing maut nahas

Pemandu treler ditahan selepas 2 pelancong asing maut nahas

Nahas tiga kenderaan di KM21 Jalan Semporna-Tawau semalam menyebabkan dua pelancong asing maut dan lima lagi parah.

Polis berkata, pemandu 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kemalangan antara treler dipandunya, van pelancongan serta sebuah lori. (Gambar Facebook)
SEMPORNA:
Seorang lelaki tempatan yang juga pemandu treler ditahan susulan kemalangan tiga kenderaan menyebabkan dua pelancong asing maut serta lima lagi parah di KM21 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, pemandu treler 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kemalangan antara treler dipandunya, van pelancongan serta sebuah lori.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kemalangan pada 3.30 petang itu dipercayai berlaku selepas treler itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, sebelum melanggar van membawa enam pelancong Singapura serta Vietnam.

“Akibat pelanggaran dua kenderaan ini, serpihan kemalangan terbang ke cermin lori di belakang treler dan kemalangan ini mengakibatkan seorang lelaki Singapura serta seorang wanita Vietnam yang menaiki van pelancongan itu meninggal dunia di lokasi kejadian.”

Katanya, pemandu van itu dan empat penumpang warga Singapura yang parah dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, individu memiliki maklumat nahas itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Semporna, Hemkkumar Ayathuray di talian 012-3650021 atau balai polis 089-782020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.