Kebenaran rayu MAIPs berkait tukar agama sepihak ditetap 14 Mei

Kebenaran rayu MAIPs berkait tukar agama sepihak ditetap 14 Mei

Pihak berkuasa agama Perlis mahu Mahkamah Persekutuan semak semula keputusan pada 2018 yang didakwa terkhilaf.

Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mahu rayu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penukaran agama sepihak anak-anak Loh Siew Hong kepada Islam tidak mengikut Perlembagaan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Mei bagi mendengar permohonan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan penukaran agama sepihak tiga kanak-kanak empat tahun lalu tidak mengikut Perlembagaan.

Pada 10 Jan, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengisytihar penukaran agama sebelah pihak anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong itu tidak sah.

Peguam Shamsher Singh Thind, seorang daripada kumpulan peguam mewakili Loh, berkata Pembantu Kanan Pendaftaran, Wan Norazimin Kassim, menetapkan tarikh tersebut dalam pengurusan kes secara dalam talian, semalam.

“Prosiding akan berjalan di mahkamah terbuka,” katanya kepada FMT.

Permohonan kebenaran difailkan kerajaan Perlis, MAIPs, pendaftar mualaf, dan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.

MAIPs mengemukakan empat persoalan undang-undang bagi mendapatkan merit bicara penuh rayuan, termasuk sama ada keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan pada 2018 adalah khilaf, memandangkan mahkamah tidak mengikut teks bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiga pemohon lain juga memfailkan persoalan sama bagi mendapatkan kebenaran.

Mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kebenaran hanya diberikan jika terdapat persoalan Perlembagaan atau undang-undang baru yang mempunyai kepentingan awam yang dibangkit buat kali pertama.

Empat pemohon mahu mahkamah atasan itu menyemak semula penghakiman kes dibawa M Indira Gandhi yang mengisytiharkan penukaran agama anaknya sebagai tidak sah.

Dalam kes berkenaan, lima panel hakim mahkamah atasan secara sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak memerlukan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa, walaupun jika seorang daripadanya telah memeluk Islam.

Anak-anak Loh ditukar agama kepada Islam oleh bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, di Perlis pada 2020.

Loh membawa kes itu kes ke Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan peruntukan dalam enakmen negeri membenar penukaran agama oleh ibu atau bapa sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

Permohonan itu kemudian ditolak dengan Mahkamah Tinggi menyatakan tiada keterangan tiga kanak-kanak itu berhenti mengamalkan Islam selepas wanita itu mendapat hak penjagaan mereka.

Bagaimanapun, keputusan itu diterbalikkan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.