
Menteri dalam negeri itu berkata laporan HRW dihebahkan meskipun badan itu tidak mengemukakan bukti berkaitan.
“HRW diminta memberi keterangan. Saya difahamkan dalam keterangan itu, ketika diminta pembuktian di mana penderaan berlaku, di mana kes kematian, di kem mana, satu cebis bukti tidak dapat mereka kemukakan tapi laporan mereka buat dihebah satu dunia.
“Tuduhan ini sangat tidak bertanggungjawab. Saya ulang lagi sekali saya jemput HRW beri bukti kepada saya,” katanya di sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung tindakan kerajaan tentang laporan HRW.
Menurut liputan media, laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depot imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia.
Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depot imigresen.
Saifuddin sebelum ini mempelawa HRW bertemunya susulan dakwaan berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan imigresen, serta meminta angka, identiti mangsa, dan lokasi kejadian berkaitan.
Menteri beri jaminan beliau akan bertindak sekiranya HRW mengemukakan bukti.
Sementara itu, Saifuddin menyangkal dakwaan bahawa depot tahanan imigresen sesak. “Ada 20 depot di negara kita, kapasitinya 20,650. Sehingga 7 Mac 2024 jumlah yang tinggal di depoh 13,635.
“Jadi dakwaan HRW tertolak dengan sendiri. Biar angka itu berbicara. Adakah sesak? Jawapannya tidak.”
Saifuddin menambah kerajaan menjaga kebajikan tahanan dengan baik, malah membelanjakan RM123 juta termasuk RM80,000 untuk kos makanan sahaja.
“Makan sahaja lima kali sehari. Bila kita usir kita bayar duit tambang feri, duit tambang kapal terbang. Begitu sekali kita jaga,” katanya.
Berhubung jumlah pelarian di Malaysia, Saifuddin memaklumkan seramai 40,000 orang dalam rekod kementeriannya.
“Bagaimanapun laporan dari UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian) hampir 189,000 pelarian. Jadi kita akan kerjasama dengan UNHCR untuk menentukan data yang tepat dalam usaha menangani isu pelarian,” katanya.