
Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, perkara itu turut melibatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Katanya, Kertas Kabinet itu antara lain akan menyentuh isu kekurangan tenaga kerja dan penyakit dihadapi pokok getah dalam usaha mencari jalan meningkatkan harga jualan getah di pasaran.
“Kementerian saya dan Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang sediakan Kertas Kabinet untuk menyantuni masalah ini. Kita akan kemuka bukan sahaja antaranya berkenaan penyakit luruhan daun Pestalotiopsis tetapi juga berkenaan kekurangan pekerja dan kawasan yang tidak ditoreh. Terdapat 420,000 hektar tidak ditoreh.
“Saya dah jumpa persatuan pekebun kecil dan kami berbincang kaedah baharu bagaimana nak atasi termasuk soal harga lantai getah. Walaupun kerajaan dah tingkatkan harga dengan lebih tinggi tapi saya fikir kita harus lakukan sesuatu,” katanya dalam sesi penggulungan kementerian di Dewan Rakyat.
Isu yang ketara, katanya, adalah tidak wajar Malaysia mengimport RM6 bilion lateks setahun sedangkan negara antara pengeluar getah asli utama dunia.
“Soal teknologi dan pemasaran baru wajar dilakukan agar pembelaan nasib pekebun getah dapat dibantu.
“Tiada sebab kukuh kita import lateks kerana kita pengeluar tapi orang kampung pekebun kecil lebih suka keluar getah beku. Kita akan ubah kaedah ini melalui teknologi,” katanya.
Pihaknya juga mengakui perkara itu berlaku disebabkan kurangnya galakan agar pekebun mengeluarkan lateks.
“Sepatutnya kita keluarkan lateks tetapi tiada galakan terhadap perkara itu kita terpaksa import lateks. Sebab itu sahabat saya, menteri perladangan dan komoditi (Johari Ghani), kita cadangkan perkara itu dan kita akan laksanakan.
“Bayangkan kalau dapat keluarkan RM6 bilion sendiri, maka tentunya dapat tingkatkan nilai kita, nilai ringgit kita,” katanya.