Edar 10kg dadah: 2 rakan kekal dipenjara 30 tahun, 15 sebatan

Edar 10kg dadah: 2 rakan kekal dipenjara 30 tahun, 15 sebatan

Mahkamah Rayuan kekal hukuman tersebut selepas mendapati tidak wujud lompang dalam kes pendakwaan.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap Mohd Khairul Azwan Zakaria dan Bhahira Fakri kerana mengedar dadah hampir 10kg, lima tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua rakan atas kesalahan mengedar hampir 10kg dadah di dalam sebuah kereta, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan penjaga mesin eskalator Mohd Khairul Azwan Zakaria, 37, dan pengutip hutang Bhahira Fakri, 43, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Feb 2023.

Hadhariah dalam penghakimannya berkata kegagalan memanggil pemilik kereta (Honda Accord) untuk memberi keterangan tidak mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan kerana asid deoksiribonuklekik (DNA) dua perayu itu terdapat pada kain mereka yang berada dalam but kereta berkenaan.

“Ini bermakna, perayu-perayu ada akses pada kereta itu dan dadah juga tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi perayu-perayu telah melarikan diri semasa ingin ditangkap polis.

“Mengikut gambar pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kereta tersebut digunakan oleh perayu-perayu selama dua hari. Oleh itu, kegagalan memanggil pemilik kereta tidak boleh membangkitkan inferens bertentangan terhadap kes pendakwaan,” katanya yang turut bersidang bersama Hakim Azmi Ariffin dan Hakim Noorin Badaruddin.

Mengenai isu terputusnya rantaian keterangan, Hadhariah berkata mahkamah tidak nampak di mana terputusnya rantaian keterangan kerana barang-barang kes telah dibuat penanda dan tiada pertikaian mengenai perkara tersebut.

“Pada hemat kami, barang-barang kes yang dikemukakan di mahkamah ialah barangan yang dirampas daripada kereta berkenaan. Oleh itu, sabitan adalah selamat, rayuan perayu-perayu ditolak manakala sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Khairul Azwan dan peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin mewakili Bhahira manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz dan Ng Siew Wee.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar 9.573kg heroin dan 0.1kg monoacetylmorphine di dalam kereta Honda Accord di kawasan parkir hadapan sebuah kedai makan di Publika 1, Jalan Dutamas 1, Solaris Dutamas di Kuala Lumpur, pada 11.40 pagi 20 Jun 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali.

Pada 16 Feb 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua lelaki itu selepas didapati bersalah mengedar hampir 10kg dadah.

Mereka kemudian memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.