
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tindakan terhadap pasangan yang bertugas di IPD Barat Daya itu diambil selepas pihaknya menerima laporan mengenainya.
“Selain arahan pertukaran, tindakan tatatertib juga diambil terhadap dua anggota terbabit oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, media melaporkan seorang wanita berstatus isteri orang bersama seorang lelaki yang juga rakan sekerjanya ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas disyaki berkhalwat dalam bilik sebuah hotel.
JHEAIPP melakukan serbuan pada 1.30 pagi selepas menerima aduan daripada suami wanita itu.
Penolong Pengarah Kanan Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Alamin Majok berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita masing-masing berumur 37 tahun.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana berkhalwat.