Cukai perkhidmatan bantu tampung STR, kurang defisit fiskal, kata ahli ekonomi

Cukai perkhidmatan bantu tampung STR, kurang defisit fiskal, kata ahli ekonomi

Langkah perbaiki defisit fiskal bantu tingkat penarafan kewangan, yakinkan pelabur ke Malaysia.

Kadar cukai perkhidmatan bagi beberapa sektor dinaikkan daripada 6% kepada 8%, namun tidak melibatkan makanan dan minuman, telekomunikasi, dan parkir.
PETALING JAYA:
Langkah kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan yang dijangka menjana RM3 bilion akan dapat membantu pemerintah menampung Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memanfaatkan 9 juta penerima, kata ahli ekonomi.

Mereka juga berpendapat pertambahan hasil daripada peningkatan cukai bagi beberapa sektor daripada 6% kepada 8% akan membantu mengurangkan defisit fiskal negara, antaranya bagi menaikkan penarafan antarabangsa kewangan negara untuk meyakinkan pelabur.

Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan meningkatkan peruntukan STR kepada RM10 bilion bagi membantu lebih ramai golongan rentan.

Pada masa sama, kenaikan cukai perkhidmatan lebih tertumpu dan hanya membabitkan perkhidmatan tertentu namun tidak terlalu membebankan rakyat.

“Saya berpendapat pelarasan ini lebih untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan cukai lain selain membantu golongan memerlukan,” katanya kepada FMT.

Bermula 1 Mac, kadar cukai perkhidmatan bagi beberapa sektor dinaikkan daripada 6% kepada 8%, namun tidak melibatkan makanan dan minuman, telekomunikasi, dan parkir.

Isi rumah menggunakan elektrik bawah 600 kilowatt sejam (kWj) yang dianggarkan 85% pengguna juga dikecualikan daripada kenaikan itu.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pelarasan itu dijangka memberi hasil tambahan RM3 bilion kepada negara yang perolehan itu berupaya meningkatkan bantuan untuk rakyat.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata pengurangan defisit fiskal boleh membantu meningkatkan penarafan antarabangsa yang penting dalam menarik pelabur.

“Penarafan baik memberi persepsi positif kepada kemampuan pengurusan. Kalau defisit terlalu tinggi menunjukkan kerajaan tak pandai mengurus duit… belanja lebih dari hasil,” katanya yang memberi amaran trend defisit sejak 2016 tidak sihat untuk negara jika berterusan.

Pada 1 Mac lalu, Anwar menegaskan mahu usaha mengurangkan defisit negara diteruskan supaya tidak membebankan generasi akan datang.

Sehingga akhir Disember 2023, jumlah keseluruhan hutang kerajaan sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23% daripada 2022 dengan 57.2% disumbangkan pelaburan asing manakala domestik 42.8%.

Bagi tahun ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilapor berkata prospek pelaburan Malaysia dijangka kekal cerah dengan pertumbuhan minimum sekurang-kurangnya 8% hingga 10%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.