
Beliau berkata, perkara tersebut tidak perlu dilengahkan lagi memandangkan proses yang perlu dilaksanakan majikan dalam pengambilan tenaga kerja asing telah dipermudahkan, antaranya tidak perlu lagi memohon visa pekerja melalui ejen.
“Apabila seorang majikan memerlukan pekerja asing, dia akan memohon kuota daripada Kementerian Sumber Manusia. Apabila kuota diluluskan dia akan membayar levi kepada imigresen, selepas itu akan mohon Visa Dengan Rujukan (VDR).
“Sekarang ini dia (majikan) yang isi (permohonan visa), lagi cepat dia isi lagi cepat dapat kerana (proses) permohonan itu hanya mengambil masa dua hari bekerja,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Polis Kedah Bersama Masyarakat di IPD Kulim.
Beliau mengulas desakan pihak majikan yang mahu kerajaan membatalkan keputusan mempercepatkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, mengumumkan kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.
Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing yang levi telah dibayar tetapi VDR belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.