KPT mahu IPTA selenggara asrama usang

KPT mahu IPTA selenggara asrama usang

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata ada penginapan di IPTA yang tidak dibaik pulih lebih 20 tahun dan keadaannya yang usang.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata kemudahan seperti itu perlu diberi keutamaan bagi memastikan tempat tinggal pelajar selesa. (Gambar Bernama)
NILAI:
Kementerian Pendidikan Tinggi meminta pihak pengurusan universiti awam mengenal pasti kemudahan kampus yang tidak diselenggara lebih 20 tahun atau usang terutamanya membabitkan penginapan pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata pihak pengurusan perlu memberi keutamaan kepada kemudahan penginapan pelajar bagi memastikan mereka mendapatkan tempat tinggal yang selesa ketika berada di kampus.

“Saya telah mengarahkan pihak universiti untuk memastikan penyelenggaraan kampus diberikan keutamaan. Ada tempat penginapan ini yang tidak dibaik pulih lebih 20 tahun dan keadaan asrama yang usang… menjadi tanggungjawab kita mendapatkan maklumat ini.

“Saya berada di Sarawak beberapa hari lepas dan melawat kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya lihat keadaan di situ… saya tekankan keutamaan perlu diberikan terutamanya tempat penginapan pelajar,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi dialog Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (Karisma) bersama 95 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), di Bandar Enstek.

Sementara itu, Zambry berkata program pemukiman berkenaan merupakan platform terbaik untuk perwakilan pelajar berkongsi pendapat bagi melahirkan pemimpin yang berwawasan tinggi serta berkaliber.

Pada sesi itu juga, Zambry mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada MPP bagi 20 Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan tujuh Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

“Sebagai tanda menghargai penglibatan semua MPP dalam program ini, setelah berbincang dengan pihak pengurusan saya ingin umumkan setiap MPP bagi 20 IPTA dan tujuh IPTS, diperuntukkan RM20,000,” katanya.

“Visi saya mahu melihat barisan perwakilan pelajar di depan saya ini menjadi pemimpin…mungkin ada dalam kalangan kamu semua akan menjadi Perdana Menteri atau memimpin negeri masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.