
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata pihaknya mempunyai proses dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam memberi keadilan kepada pihak terlibat apabila sesuatu isu berbangkit terutama berkaitan salah guna kuasa dilakukan oleh mana-mana pihak tanpa mengira pangkat.
“Kita di kementerian tidak nafikan menerima semua laporan sama ada pada peringkat dalaman atau luar termasuk melibatkan laporan polis dan kerana itu siasatan peringkat dalaman amat penting.
“Sekiranya ada terkait dengan pegawai-pegawai tertentu, kita ketepikan dulu kuasa pegawai terbabit supaya penyiasatan dapat dilakukan secara bebas, manakala mangsa ini dapat keluar daripada trauma,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah.
Media sebelum ini melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanannya di Sarawak, terhadap seorang lagi pegawainya.
Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan, laporan polis dibuat mangsa Ahad lalu berikutan kejadian didakwa berlaku semasa mangsa menjalani latihan peringkat formasi dan laporan berkenaan tular di media sosial.
TDM juga menjelaskan sebagai tindakan, pegawai kanan itu dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan telus dan menyeluruh.
Mengulas lanjut, Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima semua laporan dan pihak tidak berpuas hati selepas siasatan dilakukan boleh mengemukakannya kepada kementerian.