
Beliau mendakwa tindakan menghantar ugutan tertulis “Nga Kor Ming jangan cabar Islam” itu sebagai trend berbahaya susulan kejadian rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dilempar ‘molotov cocktail’, Januari lalu.
“Sekarang dia ugut ibu bapa saya pula. Bapa saya dah berumur 86 tahun dan tak boleh berjalan dengan sempurna. Sekiranya jadi apa-apa, saya memang risau.
“Kita harap sesiapa yang menyalahi undang-undang dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan supaya kita hantar satu mesej bahawa negara ini ada rukunnya.
“Rukunnya adalah kedaulatan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Manjung, Perak malam tadi, menurut Berita Harian.
Naib pengerusi DAP itu turut mengingatkan semua pihak supaya tidak melampaui batas dalam berpolitik.
Khamis lalu, media melaporkan Nga menerima nota ugutan di depan rumah keluarganya di Ayer Tawar, Manjung yang ditemui ibunya kira-kira 7.30 pagi.
Susulan itu, polis melancarkan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama termasuk untuk mengesan suspek.