Matlamat kabur, Kongres Ekonomi Bumiputera ‘kosong’, kata pemimpin perniagaan

Matlamat kabur, Kongres Ekonomi Bumiputera ‘kosong’, kata pemimpin perniagaan

Ahli perniagaan yang hadir kongres tiga hari itu berkata banyak resolusi dibentangkan adalah 'kosong, generik dan retorik'.

Seorang ahli perniagaan berkata Kongres Ekonomi Bumiputera gagal mewujudkan matlamat dan menetapkan rancangan jelas untuk pelaksanaan dan pemantauan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin perniagaan Melayu menyifatkan “banyak yang terlepas” daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 minggu lalu, sambil berkata kerajaan menolak beberapa peluang untuk menetapkan sasaran jelas bagi komuniti itu.

Ahli perniagaan yang menghadiri kongres itu berkata, ia gagal menetapkan matlamat ekonomi sebenar untuk komuniti berkenaan. Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan bercadang melancarkan pelan jangka panjang Bumiputera untuk tempoh 10 tahun pada Jun.

Beliau yang enggan namanya disiarkan memberitahu FMT, beberapa resolusi yang dibawa ke kongres tiga hari itu adalah “kosong, generik dan retorik”.

“Bagaimanapun ada antaranya tepat, tetapi tidak mempunyai matlamat yang jelas. Terdapat beberapa peluang yang terlepas.

“Ia akan menjadi lebih berkesan jika butiran dapat ditentukan, dengan rancangan jelas mengenai pelaksanaan dan pemantauan. Kita bimbang ia akan menjadi satu lagi kongres biasa.

“Saya juga ingin mengatakan semua pandangan kami telah disahkan. Keadaan ekonomi Bumiputera memang teruk.”

Kongres itu dilaporkan membahaskan lebih 80 resolusi dalam tempoh tiga hari, bermula daripada pembelajaran awal kanak-kanak dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada penguasaan teknologi baharu yang bernilai tinggi.

Pada kongres itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menggariskan tiga resolusi dalam usaha memperkukuh tonggak ekonomi Malaysia, meningkatkan tadbir urus dan menegakkan keadilan sosial.

Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion untuk memulakan dana keusahawanan Bumiputera yang ditubuhkan bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam industri bernilai tinggi.

Beliau kemudian mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf Mara Madani, sebuah dana yang diharap dapat mengumpul RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, bertujuan memperkasakan komuniti Bumiputera.

Bagaimanapun, ahli perniagaan itu berkata kongres tersebut tidak seharusnya tertumpu kepada pengumuman peruntukan kewangan, walaupun pembiayaan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan langkah untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Beliau juga berkata, ucapan disampaikan tiga menteri pada kongres itu tidak membantu, kerana nuansa mereka berbeza. Dia tidak menamakan menteri terbabit.

“Masalah utama adalah dalam pengelompokan dan penetapan matlamat. Terdapat banyak isu dan peluang yang terlepas pandang.”

Khamis lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Putrajaya akan melancarkan pelan pemerkasaan Bumiputera yang “segar dan inklusif” pada Jun, dengan memasukkan cadangan daripada kongres.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.