
Ketua Percukaian PwC Malaysia, Jagdev Singh, berkata dengan sasaran belanjawan defisit 4.3%, kerajaan umpama “berjalan di atas tali” jika tiada sumber ketara pendapatan baharu diperkenalkan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan wajib meningkatkan program bantuan sosial untuk menaik taraf hidup secara keseluruhan dan menangani jurang pendapatan semakin meluas serta tekanan inflasi.

“Banyak negara bergelut dengan ketidakseimbangan pendapatan ketika dunia keluar daripada pandemik Covid-19. Banyak negara, termasuk jiran kita Singapura, memberi bantuan tunai kepada pekerja berpendapatan rendah.
“Jumlah jangkaan RM3.45 bilion daripada peningkatan cukai perkhidmatan 2% bersama dengan pelbagai langkah lain seperti rasionalisasi subsidi akan membantu membiayai inisiatif ini,” katanya ketika dihubungi.
Jagdev berkata buat masa ini, nisbah cukai kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berada pada aras 12%, lebih rendah daripada banyak negara lain.
Katanya, kerajaan sangat bergantung kepada cukai pendapatan korporat, yang menjadikan aliran pendapatan negara rentan kepada turun naik keuntungan mereka.
“Baru-baru ini, negara jiran meningkatkan saiz belanjawan mereka, dan ini biasanya disertai dengan peningkatan cukai penggunaan atau pengenalan cukai tidak langsung dalam sektor tertentu.
“Singapura menaikkan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mereka sebanyak 2% dan Indonesia menaikkan kadar cukai nilai tambah kepada 12%. India pula meningkatkan kadar GST untuk sektor tertentu (sub-kontraktor) daripada 12% kepada 18%.
“Di Malaysia, kali terakhir kita melihat peningkatan secara meluas dalam kadar cukai perkhidmatan adalah pada 2011 apabila dinaikkan daripada 5% kepada 6%,” katanya.
Jagdev berkata, peningkatan cukai perkhidmatan itu tidak sempurna, dan akan ada isu perlu diselesaikan. Ini termasuk pembaikan teknikal pada skop dan kesan berturutan.
“Sehingga kita bersedia untuk mengamalkan cukai yang lebih meluas, kerajaan perlu mencari cara dalam sistem cukai sedia ada.
“Cukai yang luas dan pelbagai peringkat seperti GST, yang telus di setiap rangkaian bekalan, tetap menjadi alternatif yang lebih baik untuk memberikan sumber pendapatan berterusan dan menyeimbangkan kebergantungan kepada cukai pendapatan korporat,” katanya.
Pakar cukai dari Universiti Sains Malaysia, Lim Tan Chin, berkata selepas pandemik hutang negara mencapai 60% daripada KDNK, dan banyak wang diperlukan untuk membayarnya.
Katanya, kerajaan akan menghadapi kesulitan untuk menguruskan hutangnya dan membayar untuk perbelanjaan pembangunan bagi mengekalkan pertumbuhan.
“Ia seperti bil kad kredit. Sekiranya kita akhirnya gagal (atau tidak) membayar jumlah penuh hutang dan faedah, kita boleh bankrap.
“Sama juga, walaupun kewangan negara kita masih kukuh dan negara jauh dari kebankrapan, kita perlu meningkatkan pendapatan melalui cukai dan pelaburan asing,” katanya.
Pada Disember 2023, hutang negara adalah pada 64.3% daripada KDNK, yang mencerminkan keseluruhan pendapatan negara tahun lalu, hanya 0.2% lebih rendah daripada rekod tertinggi yang dicapai pada Mac 2021.
Nisbah hutang kepada KDNK negara yang terendah pernah direkodkan adalah 49.3% 10 tahun lalu iaitu pada September 2011.
Hutang negara pada Disember tahun lalu berjumlah RM1.17 trilion. Ia meningkat sebanyak 8.6% pada 2023, lebih rendah daripada kadar pertumbuhan 10.2% dicatat pada 2022.
Pada RM1.17 trilion, hutang dalam negara merangkumi 97.5% daripada hutang kerajaan, dengan pinjaman luar pesisir membentuk baki RM29.8 bilion.