
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihaknya sedang menyediakan Kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.
“Saya tidak boleh komen perkara ini (sama ada berminat menjadi tuan rumah). Kita akan serahkan semua hasil kajian kepada Jemaah Menteri untuk satu keputusan. Kena tunggu dulu.
“Bukan sahaja kewangan, ada banyak faktor yang kena lihat dan diteliti, jadi saya tidak boleh komen. (Kertas Kabinet) sudah hampir siap,” katanya apabila ditanya jika Malaysia berminat menjadi tuan rumah temasya itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan pelancaran video Kod Sukan Selamat di Uniten.
Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.
Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.
Sementara itu, Hannah berkata terdapat peningkatan mendadak penglibatan wanita dalam lembaga agensi bawah KBS.
“Daripada 19% pada tahun 2022, kini kita mempunyai 30.6% wanita dalam lembaga yang saya lakukan di agensi, seperti Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Perbadanan Stadium Malaysia,” katanya.