Anwar tepis cabaran Muhyiddin: ‘Terpulang pada Ahli Parlimenlah’

Anwar tepis cabaran Muhyiddin: ‘Terpulang pada Ahli Parlimenlah’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan bukan di tangannya.

Anwar Ibrahim jawab cabaran Muhyiddin Yassin yang mahu kekosongan diisytiharkan di tujuh kerusi.
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menepis cabaran Muhyiddin Yassin yang mahu kekosongan diisytiharkan di tujuh kerusi yang mana wakil rakyatnya beralih sokongan.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, mengingatkan bahawa keputusan bukan di tangannya.

“Terpulang kepada Ahli Parlimenlah, kenapa tanya saya,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat polis di Seberang Perai Central.

Anwar mendakwa orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu, dan menambah Muhyiddin tentu faham situasi semasa.

“Dia yang pakar bagi ‘lompat’ dan ‘scheme of things’ itu dia patut jawab,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional mencabar Anwar dan wakil rakyat yang berkenaan mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen dan satu DUN.

Dalam ucapannya ketika Konvensyen Wakil Rakyat PN 2024, Muhyiddin yakin Perikatan Nasional akan menang lebih di besar kerusi berkenaan jika PRK diadakan.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Baru-baru ini, Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, yang juga bekas ketua Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.