15 kes berkait cuaca panas dilapor tahun ini

15 kes berkait cuaca panas dilapor tahun ini

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak empat kes dilaporkan berkaitan strok haba dan 11 kes mengenai kelesuan haba.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kes berkaitan cuaca panas masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga terutama menjelang Ramadan nanti. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan berlaku di seluruh negara dari minggu pertama tahun ini hingga semalam.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kes berkaitan strok haba dan 11 kes mengenai kelesuan haba.

Beliau berkata tujuh kes dikesan masing-masing berlaku di Perak dan Kedah, manakala satu kes di Sabah melibatkan golongan pertengahan berumur 17 hingga 50 tahun.

“Daripada jumlah itu, ada juga melibatkan anggota badan beruniform kerana mereka terdedah dengan cuaca panas semasa latihan dan sebagainya.

“Namun, semua pesakit dikesan di peringkat awal dan 14 daripada mereka telah sembuh serta dibenarkan keluar wad, manakala seorang lagi pesakit yang sebelum ini berada di Unit Rawatan Rapi (di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah) dipindahkan ke wad biasa dan keadaannya stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wellnes Hub Terengganu di pekarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Dzulkefly berkata, kes berkaitan cuaca panas di negara ini masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi cuaca panas terutama menjelang Ramadan nanti.

Sementara itu, Dzulkefly berkata terdapat 33 Wellness Hub diwujudkan di seluruh negara sehingga kini dalam usaha menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat.

Wellness Hub di Terengganu katanya, mula beroperasi pada 24 Feb lepas dengan menyediakan 13 pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan antaranya saringan faktor kesihatan, pengurusan berat badan dan perkhidmatan berhenti merokok.

“Wellness Hub Terengganu ini penting dalam menggalakkan tingkah laku sihat, mengurangkan prevalen penyakit kronik serta penyebaran penyakit berjangkit.

“Saya berharap agar agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin komuniti dan persatuan turut berganding bahu memainkan peranan dalam memperkukuh perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara holistik kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.