
Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata selain berkait secara langsung dalam kehidupan harian majoriti rakyat, jurang kemudahan itu di antara bandar dengan pedalaman khususnya di Sabah serta Sarawak perlu dirapatkan.
Menurutnya, selain rancangan pembangunan kemudahan sektor kritikal itu, Putrajaya perlu meningkatkan kepercayaan rakyat termasuk perbelanjaan tambahan hasil menerusi pelarasan cukai bagi sektor tertentu daripada 6% kepada 8% mulai awal bulan ini.
Percaya kemampuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengurus dasar fiskal negara, Madeline berkata cabaran utama kini untuk menjelaskan segala inisiatif telah dirancang.
“Kalau kerajaan kata ada hasil tambahan RM3 bilion, bagaimana dibelanjakan…bina sekolah dan baiki jalan raya di mana.
“Rakyat mahu tahu semua itu,” katanya kepada FMT.
Madeline berkata kefahaman rakyat terhadap segala dasar dan pendekatan baharu kerajaan perlu ditingkatkan termasuk pelaksanaan Pangkalan Data Pusat (Padu) untuk mendapat pembabitan mereka secara langsung.
“Masih ramai kurang faham dan takut nak daftar (dengan Padu). Inilah fungsinya J-Kom (Jabatan Komunikasi Komuniti) untuk turun ke lapangan berinteraksi dengan rakyat,” katanya.
Bermula 1 Mac, kadar cukai perkhidmatan bagi beberapa sektor diselaraskan daripada 6% kepada 8%, namun tidak melibatkan makanan dan minuman, telekomunikasi, dan parkir.
Isi rumah menggunakan elektrik bawah 600 kilowatt sejam (kWj) yang dianggarkan 85% pengguna juga dikecualikan daripada kenaikan itu.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pelarasan itu dijangka memberi hasil tambahan RM3 bilion kepada negara yang perolehan itu berupaya meningkatkan bantuan untuk rakyat.