
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata majikan kini boleh membuat permohonan eVisa secara terus ke sistem MYVISA milik Jabatan Imigresen.
“Kerajaan memberikan id aktif dan manual pengguna kepada majikan yang berkait dengan penggajian pekerja asing warga Bangladesh untuk membuat permohonan visa,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin juga mempertahankan keputusan kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang masih belum diisi selepas 31 Mac. Di bawah kuota ini, majikan mempunyai masa hingga 31 Mac untuk membawa pekerja ini ke Malaysia selepas visa mereka diluluskan.
Katanya, keputusan itu dibuat secara bersama oleh KDN dan Kementerian Sumber Manusia dengan mengambil kira elemen keselamatan dan ketenteraman awam.
Saifuddin berkata, kementerian juga mempertimbangkan keperluan semasa dan akan datang keperluan tenaga kerja asing di setiap sektor berkaitan.
“Keputusan ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.”
Pada minggu lalu, Saifuddin berkata kerajaan tidak lagi membenarkan kemasukan pekerja asing bagi sektor formal dari kuota aktif, mulai 1 Jun.
Katanya, baki kuota penggajian pekerja asing yang masih aktif dan dibayar levi, tetapi belum diterbitkan visa dengan rujukan (visa with reference atau VDR) hujung bulan ini, akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.
“Tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal baharu dengan VDR adalah 31 Mei,” katanya.
Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (Micci) mengkritik keputusan itu dengan mendakwa ia dibuat tergesa-gesa.
FMM berkata keputusan itu akan menjejaskan beberapa perniagaan yang merancang pengambilan pekerja asing mengikut peringkat berdasarkan jadual projek mereka.
Hari ini, Saifuddin berkata majikan yang sudah membayar levi untuk 412,011 kuota pekerja asing, iaitu 58.1% daripada 239,305 kuota telah diberikan visa dengan rujukan.
Katanya, jumlah itu memberikan gambaran jelas bahawa majikan yang benar-benar memerlukan pekerja asing akan menyegerakan kemasukan pekerja asing ke dalam negara.
“Tempoh kemasukan pekerja asing juga wajar dipendekkan selaras dengan hasrat kerajaan menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan mendesak industri.
“Keputusan ini diharapkan dapat mencegah eksploitasi pekerja asing seperti yang dilaporkan oleh pelbagai
saluran media sebelum ini,” katanya.
Saifuddin berkata langkah membenarkan permohonan terus eVisa untuk pekerja Bangladesh akan membantu majikan menggunakan kuota mereka dengan permohonan dapat diproses dalam masa satu hingga dua hari bekerja.