Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang bulan ini, kata PM

Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang bulan ini, kata PM

Cadangan pindaan untuk menyelesaikan isu anak dilahirkan di luar negara itu diluluskan Kabinet hari ini.

Anwar Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri bersama penerima anugerah pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak warganegara untuk anak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing akan dibentang di Parlimen bulan ini.

Pengumuman itu menyusul beberapa jam selepas Kabinet hari ini meluluskan cadangan pindaan yang antaranya untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat-kuasa undang-undang.

Berucap pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Anwar berkata pindaan dalam Perkara 141 (b) Perlembagaan Persekutuan akan dibentang di Parlimen bulan ini.

“Kita telah bentang kepada Majlis Raja-Raja Melayu, sukacita saya maklumkan bahawa istilah bapa yang diiktiraf dalam perlembagaan itu dari segi hak anak menjadi warganegara akan digantikan kepada ibu bapa atau ibu atau bapa.

“Kita akan bentang bulan ini dalam parlimen, saya percaya ini akan menerima sokongan semua Ahli Parlimen,” katanya malam ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada satu sidang media di Putrajaya berharap pindaan itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini kerana perlu menunggu giliran memandangkan ada banyak pindaan oleh kementerian lain.

Pada 18 Feb tahun lalu, Kabinet bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Susulan itu, satu kertas pindaan dirangka oleh Jabatan Peguam Negara bagi kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Pada 5 Ogos 2022, dalam keputusan berbelah bahagi, Mahkamah Rayuan memutuskan anak yang dilahirkan ibu rakyat Malaysia di luar negara boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan kuat kuasa undang-undang.

Pengerusi panel itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi bersetuju dengan perkara itu manakala S Nantha Balan membantah.

Mereka yang menyokong berpendapat istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.

Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021, berkata ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.