‘Lain daripada yang lain’, pengguna puji R&R Elmina, GCE

‘Lain daripada yang lain’, pengguna puji R&R Elmina, GCE

R&R Elmina yang diperbaharui pada 2021 untuk kemudahan pengguna Lebuh Raya Koridor Guthrie meraih pelbagai anugerah dan dipuji orang ramai.

R&R Elmina GCE diiktiraf dengan beberapa anugerah termasuk anugerah Toilet of The Year 2023 untuk kategori R&R, dan taraf Tandas Amat Bersih 5 Bintang daripada Program Penarafan Kebersihan Tandas Awam, MBSA. (Gambar Prolintas)
PETALING JAYA:
Bagi peniaga Nooridatul Afzan kawasan rehat kebiasaanya dilihat sebagai lokasi untuk berehat sementara selepas pemanduan yang jauh. Namun, selepas merasai sendiri kemudahan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), beliau cukup kagum dengan kebersihan, keselesaan dan nilai estetikanya.

“Biasanya, kawasan rehat tidak selalunya bersih dan cantik mata memandang. Tapi di sini memang lain daripada yang lain,” kata peniaga berusia 47 tahun itu kepada FMT.

Nooridatul, yang dalam perjalanan bersama keluarganya dari Saujana Utama ke Kajang, menggambarkan R&R Elmina sebagai bersih dan menarik reka bentuknya.

“Keluarga saya dan saya singgah tempat ini beberapa kali, terutamanya pada hujung minggu. Setiap kali kami datang ke sini, hentian ini memang sentiasa bersih dan teratur.

Pengguna seperti Nooridatul Afzan memuji standard yang konsisten tinggi di R&R Elmina GCE malah keluarganya sentiasa singgah terutama semasa perjalanan jauh.

“Bagi saya, salah satu faktor penting dalam memilih tempat rehat adalah kebersihan tandas, dan saya harus akui tandas memang dijaga dengan sempurna,” tambahnya.

R&R Elmina di kedua-dua arah menjalani proses ubah suai dari akhir 2020 sehingga awal 2021.

Sejak penambahbaikan itu, R&R Elmina menjadi tarikan pengguna lebuh raya bahkan menerima pelbagai pengiktirafan.

Tahun lalu, R&R Elmina Selatan memenangi anugerah Toilet of The Year Award 2023 untuk kategori R&R bagi seluruh lebuh raya.

Pengguna seperti Azmi Hamid berkata R&R Elmina GCE menyediakan pengalaman berehat yang cukup berkualiti untuk pengguna, terutama pemandu perjalanan jauh.

Azmi Hamid, seorang pekerja sektor swasta berusia 35 tahun yang pulang ke rumah selepas bercuti di Perlis, turut memuji kebersihan tandas di R&R Elmina.

“Saya kagum dengan kebersihan tandas di sini. Betul-betul bersih! Rasa macam berada di pusat beli-belah mewah, bukan sekadar tempat rehat di tepi lebuh raya.

“Secara keseluruhan, kemudahan-kemudahan di sini selesa dan memuaskan. Saya singgah sini beberapa kali sebelum ini dan mendapati reka bentuknya selesa dan unik berbanding kawasan rehat lain. Makanan di sini juga sedap dengan pelbagai pilihan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Mohammad Azlan Abdullah, memaklumkan bahawa pengubahsuaian R&R itu sangat penting bagi menambah baik pengalaman pengguna GCE.

“Hentian kami bukan sekadar kawasan rehat, malah ia lokasi berkumpul dan untuk menikmati juadah bersama keluarga, rakan-rakan dan bagi penduduk sekitarnya termasuk Elmina, Bukit Subang, Denai Alam, dan Bukit Jelutong,” katanya kepada FMT.

Beliau menekankan inisiatif berterusan ini komitmen GCE pada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna antaranya laluan kecemasan yang lebar, laluan rizab utiliti, dan pembahagi jalan berlandskap sepanjang 4 meter.

“Lebuh raya ini juga diterangi lampu sepenuhnya bagi memastikan keterlihatan yang jelas pada setiap masa. Usaha penyelenggaraan yang dijalankan secara proaktif bagi memastikan keadaan permukaan jalan, hentian sebelah, kawasan rehat, teduhan motosikal, sistem lampu, dan kerja-kerja melandskap dikawal mengikut piawaian.

“GCE juga pemangkin pembangunan di sepanjang lebuh raya, kerana ia membolehkan pergerakan yang pantas dan bebas daripada kesesakan,” jelas Azlan.

GCE yang sepanjang 25km dari Shah Alam ke Rawang meliputi tujuh persimpangan strategik iaitu Persimpangan Jelutong-NKVE, Persimpangan Jelutong Sentral, Persimpangan Jelutong Utara, Persimpangan Bukit Subang, Persimpangan Elmina, Persimpangan Paya Jaras, dan Persimpangan Lagong.

Ia mempunyai tiga plaza tol iaitu di Bukit Jelutong, Elmina dan Lagong, serta bersambung dengan lebuh raya utama lain seperti Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Selaku sebahagian daripada Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR), GCE menyediakan akses ke Lebuh Raya Utara-Selatan, selaku alternatif untuk memintas Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE).

GCE ialah salah satu anak syarikat PROLINTAS menerusi Prolintas Infra Business Trust, Amanah Perniagaan yang akan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada 25 Mac.

Lebuh raya GCE yang menghubungkan Shah Alam dan Rawang dengan laluan sepanjang 25km mempunyai tiga plaza tol iaitu Bukit Jelutong, Elmina, dan Lagong yang memberi manfaat kepada lebih 123,000 pengguna setiap hari. (Gambar Prolintas)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.