
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, percakapan Hadi dirakam Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Selasa lalu.
Katanya, siasatan berhubung kenyataan Hadi pada 20 Feb lalu itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita sudah hantar pada AGC kelmarin untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu arahan pejabat peguam negara.
Media sebelum ini melaporkan Hadi dirakam keterangan pada 2.19 petang Selasa lalu di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.
Pada 29 Feb lalu, Pejabat Sultan Selangor dilaporkan berkata, kenyataan sinis Hadi, yang secara tidak langsung mengaitkan ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata, amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Hadi pada 27 Feb lalu, yang antara intipatinya menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 15 Feb lalu.
Menurutnya, Hadi bukan saja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam.