Kerajaan pertimbang longgar waktu kerja penjawat awam wanita

Kerajaan pertimbang longgar waktu kerja penjawat awam wanita

Kelonggaran itu mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran waktu bekerja bagi penjawat awam wanita sedang dipertimbangkan agar mereka dapat memberikan lebih perhatian kepada keluarga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan turut mengambil kira memberikan kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi lebih perhatian kepada keluarga.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran itu mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza.

“Saya akan bincang dengan ketua setiausaha negara dan ketua pengarah perkhidmatan awam supaya diberi kelonggaran, walaupun dengan sedikit gaji yang kurang,” katanya.

“Umpamanya, biasanya kerja dari 8 pagi hingga 5 petang, tetapi kalau bekerja mungkin selama empat jam, mengikut kadar upah mungkin kurang, tetapi kita boleh manfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk jaga kepentingan anak-anak di rumah.”

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, yang turut dihadiri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri dan timbalannya, Noraini Ahmad; serta Jemaah Menteri.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang memberi kelonggaran seumpama itu kepada penjawat awam wanita, jika ia dapat direalisasikan.

Katanya, perkara itu menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya untuk memberikan perhatian kepada keluarga.

“Kita yang membuat peraturan dan SOP (prosedur operasi standard), dan kalau kita rasa perlu untuk meningkatkan sumbangan wanita, kita boleh sesuaikan sedikit peraturan dan SOP itu,” katanya.

Bagi mengiktiraf peranan wanita, Anwar turut mengarahkan Nancy supaya memilih 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang untuk menerima dana khas sebanyak RM50,000, bagi menjalankan program berkaitan golongan itu.

“Dengan dana khas ini, mereka boleh manfaatkan sama ada mengadakan kegiatan atau kumpulan yang tidak semestinya terikat kepada parti atau persatuan, menggunakan dana ini untuk mencari jalan atau wahana meningkatkan kegiatan wanita,” katanya.

Perdana menteri berkata, beliau akan menimbangkan untuk meningkatkan jumlah penyertaan dan dana, jika program yang dijalankan terbukti berjaya mengangkat peranan wanita dalam masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, SSPA yang bertujuan meningkatkan kadar upah penjawat awam sedang dalam peringkat akhir dan hasil kajian itu akan diumumkan menjelang akhir tahun ini, selepas 10 tahun kadar upah penjawat awam tidak dikaji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.