Cepatkan RUU profesion kerja sosial, kata aktivis

Cepatkan RUU profesion kerja sosial, kata aktivis

Vijayakumari Pillai berkata, JKM terdesak memerlukan pekerja sosial berkelayakan dan terlatih untuk menangani kes keganasan rumah tangga.

Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan 4,924 kes keganasan rumah tangga pada 2023.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menggesa kerajaan mempercepatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) profesion kerja sosial di Parlimen bagi memperkasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menangani kes keganasan rumah tangga.

Ahli seumur hidup Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, Vijayakumari Pillai memberitahu FMT, aktivis mendesak RUU itu – yang asalnya didraf pada 2010 – dibentangkan di Parlimen, tetapi tidak membuahkan hasil.

Menurutnya, JKM tidak mempunyai pekerja sosial mencukupi untuk menangani jumlah kes penderaan domestik yang diterimanya setakat ini.

RUU itu bagi mengiktiraf profesion berkenaan secara rasmi dengan menubuhkan sebuah majlis yang bertanggungjawab mengawal selia pekerja sosial menerusi pendaftaran dan persijilan profesional. Majlis itu juga akan menetapkan standard praktikal dan pendidikan serta menggalakkan perkembangan profesional.

“JKM (tidak cukup) dilengkapi pekerja sosial terlatih untuk menangani kes keganasan rumah tangga, apatah lagi kes perlindungan kanak-kanak,” kata bekas penolong pengarah jabatan itu.

Beliau menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri turun padang melihat sendiri betapa teruknya keadaan jabatan itu.

Vijayakumari berkata, jabatan di bawah kementerian itu perlu mengambil lebih banyak graduan dalam bidang kerja sosial bagi menangani kes, sebagaimana dilakukan di kebanyakan negara, bukannya “beraneka jenis graduan dari pelbagai bidang tidak berkaitan” yang hanya menjalani latihan kurang sebulan.

Baru-baru ini, Nancy dipetik Utusan Malaysia berkata, pihak berkuasa merekodkan 4,924 kes keganasan rumah tangga tahun lalu, dengan panas baran (1,406 kes) sebagai punca utama. Jumlah kes direkodkan pada 2021 dan 2022 masing-masing 5,131 dan 4,272, sebahagian besarnya didorong masalah dadah.

Bagaimanapun, Vijayakumari percaya data itu baru bunganya saja kerana ramai mangsa tidak membuat laporan polis disebabkan pelbagai faktor, khususnya bagi mempertahankan rumah tangga, melindungi anak dan tidak mampu berdikari dari segi kewangan sekiranya bercerai.

“Proses perceraian dan hak penjagaan anak mahal disebabkan kos perundangan, manakala kaedah bantuan guaman kerajaan mengambil masa terlalu lama. Jadi, jika anda tidak kaya, anda akan hadapi kesukaran kerana tiada sumber kewangan.”

Sementara itu, Pegawai Kanan Maklumat dan Komunikasi All Women’s Action Society (Awam), Amanda Shweeta Louis memberitahu FMT, tekanan kewangan yang diburukkan lagi dengan kesan berpanjangan pandemik Covid-19 mungkin punca pasangan cepat baran.

“Ketakstabilan ekonomi seperti hilang pekerjaan, hutang atau ketakstabilan kewangan mampu menimbulkan rasa tidak berdaya dan kekecewaan yang membawa kepada kerengsaan dan marah.

“Tekanan untuk mematuhi peranan gender tradisional sebagai pencari nafkah keluarga mampu memburukkan lagi perasaan itu, seterusnya membawa kepada tingkah laku agresif untuk merasakan diri lebih mampu mengawal keadaan.”

Katanya, lelaki sering dipaksa menahan emosi, menyebabkan mereka tidak dapat menyuarakan perasaan secara sihat.

Beliau menggesa wanita yang dibelenggu keganasan dalam hubungan supaya menghubungi organisasi seperti Awam atau Pertubuhan Pertolongan Wanita untuk mendapatkan maklumat perundangan serta khidmat kaunseling percuma.

Dalam kes tertentu, katanya, ada mangsa yang diberikan tempat perlindungan sementara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.