
Katanya, pemberian subsidi itu bagi memastikan kenaikan harga bahan api di pasaran dunia untuk penjanaan elektrik tidak dilepaskan sepenuhnya kepada rakyat.
“Kerajaan tidak dapat mengetahui jumlah pengguna elektrik dalam kategori M40. Ini kerana bil elektrik pengguna bersandarkan penggunaan tenaga elektrik mereka, bukannya pendapatan isi rumah.
“Walaupun begitu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik bawah 600kWj sebulan (anggaran bil elektrik bawah RM223.51) iaitu kira-kira 84.4% pengguna domestik di Semenanjung kekal dilindungi dan masih menerima rebat dua sen/kWj sebagai sebahagian inisiatif penyasaran semula subsidi oleh kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) adakah ia akan membuat pentaksiran semula ke atas kenaikan tarif elektrik yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan M40 mulai Januari lalu.
Kementerian itu memaklumkan kerajaan sebelum ini memutuskan mulai Januari hingga Jun 2024, kira-kira 1.2 juta pengguna domestik dengan penggunaan 601kWj sehingga 1500kWj yang mewakili kira-kira 14.7% daripada pengguna domestik di Semenanjung tidak lagi diberikan rebat dua sen/kWj serta tidak dikenakan surcaj.
Keputusan itu bermakna pengguna dengan anggaran bil elektrik bulanan RM250 hingga RM794.30 akan membayar tambahan RM12 hingga RM32 sebulan.
“Sungguhpun demikian, kerajaan masih prihatin dan memperuntukkan subsidi berjumlah RM266.19 juta untuk menampung kadar surcaj sebenar yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna dalam kategori tersebut.”