Pelan 10 tahun Bumiputera lebih ‘segar, inklusif’ dilancar Jun

Pelan 10 tahun Bumiputera lebih ‘segar, inklusif’ dilancar Jun

Menteri ekonomi berkata input, cadangan dan pandangan hasil KEB 2024 akan dicerakinkan dalam hala tuju baharu pemerkasaan Bumiputera ini.

Rafizi Ramli berkata, golongan kelas pertengahan Bumiputera menghasilkan profesional berpengalaman tinggi, tetapi ketinggalan dalam mencipta nilai tidak setara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan melancarkan pelan jangka panjang Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang yang lebih “segar dan inklusif” pada Jun ini dalam usaha melonjakkan sosioekonomi Bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata input, cadangan dan pandangan hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 akan dicerakinkan serta diterjemahkan dalam hala tuju baharu pemerkasaan Bumiputera ini.

“Kerajaan akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pemerkasaan golongan kelas pertengahan Bumiputera yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi.

“(Supaya) beralih daripada sekarang…makan gaji kepada mencipta nilai agar lebih banyak penyertaan kelas menengah Bumiputera dalam perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding hanya bergantung harap pada pekerjaan bergaji,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai hala tuju dan pendekatan baharu sedang dirangka daripada KEB 2024 bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi golongan berkenaan supaya terus berdaya saing.

Rafizi berkata, golongan kelas pertengahan Bumiputera menghasilkan profesional berpengalaman tinggi, bagaimanapun ketinggalan dalam mencipta nilai tidak setara berbanding profesional bukan Bumiputera dalam negara dan golongan kelas pertengahan di luar negara.

“Fokus ini bermakna…kita akan galakkan lebih ramai profesional, maka kita perlu juga beralih dari segi mobilisasi kapital yang bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

“Sebab itu, bagi pendapat saya, tumpuan kita perlu beralih dalam mewujudkan dasar bukan (fokus) semata-mata kepada agensi atau pendanaan besar daripada kerajaan seperti golongan bukan Bumiputera ataupun kelas menengah di negara lain akan terus membiayai penciptaan nilai menerusi perusahaan baharu bersama kelas menengah…perkara ini dilakukan melalui fungsi swasta.”

Pendanaan melalui usaha ekuiti persendirian atau modal teroka boleh meningkatkan penskalaan perniagaan Bumiputera.

Justeru, beliau berkata, tumpuan kerajaan lebih kepada membina ekosistem dari segi undang-undang, insentif, percukaian dan pembinaan bakat pelaburan dalam kalangan golongan menengah.

“Kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani mengenal pasti enjin pertumbuhan baharu, termasuk peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik lebih maju.

“Sudah tentu apabila kerajaan meletakkan fungsi ini, ia akan bermula dengan (merapatkan) jurang, terutama antara usahawan dan profesional Bumiputera dan program khusus melibatkan golongan ini membiasakan usaha dengan potensi yang ada dan untuk menggalakkan mereka mengambil risiko menyertai sektor begini…ini akan diperhalusi seperti sebahagian dapatan yang dibincangkan di KEB 2024.”

Usaha berterusan ini dilihat dapat memperkukuhkan daya saing golongan berkenaan dengan tumpuan juga diberi pada penskalaan bakat, peningkatan pendapatan dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar.

Beliau berkata, kadar kemiskinan Bumiputera di tahap 7.9%, diikuti kaum India (5.4%) dan Cina (1.9%) pada 2022.

Pengangguran dalam kalangan Bumiputera juga tertinggi pada 387,800 orang atau 61.5% daripada keseluruhan 630,400 penganggur.

Sasaran pemilikan ekuiti korporat 30% juga belum tercapai dengan kadar 18.4% pada 2020 berbanding bukan Bumiputera pada 29.5%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.