
Hakim Zabidin Diah, yang dilantik pada Januari tahun lepas, bersara wajib pada 29 Feb.
Sumber berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada mulanya menghantar nama seorang calon kepada Jabatan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.
“Kemudian, dua lagi nama dihantar (sebagai calon) seperti yang dibenarkan mengikut Akta JAC 2009,” kata sumber kepada FMT.
Pada Selasa, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim akan melaksanakan tugas dan fungsi hakim besar Malaya secara interim sementara menunggu pelantikan tetap ke jawatan itu.
Bagaimanapun, sumber berkata, nama hakim yang agak junior telah dikemukakan. Akibatnya, isu pelantikan hakim besar Malaya yang baharu tiada dalam agenda pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang baru selesai.
Mengikut Seksyen 26 Akta JAC, suruhanjaya sembilan anggota yang dipengerusikan oleh ketua hakim negara itu dikehendaki mewajarkan pemilihan mereka dan memberi perdana menteri maklumat lain yang mungkin diperlukan untuk pertimbangannya.
Selanjutnya, Seksyen 27 menyatakan, perdana menteri boleh meminta nama dua calon tambahan untuk dipertimbangkan.
“Sekarang nampaknya mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan boleh dilantik ke jawatan itu,” kata sumber.
Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, semua pelantikan hakim ke jawatan pentadbiran tertinggi dalam kehakiman hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Daripada 11 hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Nallini Pathmanathan adalah yang paling senior, dilantik pada 26 Nov 2018.
Beliau dipintas oleh Zabidin, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Feb 2022, untuk jawatan hakim besar Malaya.
Seterusnya terdapat Zabariah Yusof and Hasnah Hashim, yang kedua-duanya dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Dis 2019.
Zabariah akan mencapai umur persaraan wajib pada Oktober 2025, Hasnah pada bulan berikutnya, dan Nallini pada Februari 2026, atas dasar pelantikan mereka akan dilanjutkan enam bulan lagi apabila mencapai umur 66 tahun.
Hakim Mary Lim adalah yang seterusnya paling senior tetapi akan meninggalkan jawatan pada awal Mei tahun ini.
Selain itu, Hakim Harmindar Singh Dhaliwal akan bersara pada April tahun depan; Hakim Abdul Karim Jalil pada November 2025; Hakim Rhodzariah Bujang (Mei 2028); Hakim Abu Bakar Jais (Disember 2028); dan Hakim Nordin Hassan (Januari 2030).
Rhodzariah, hakim dari Sarawak, mungkin tidak dipertimbangkan untuk jawatan hakim besar Malaya kerana beliau dijangka dilantik sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak selepas Abdul Rahman Sebli bersara pada Julai tahun depan.
Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, tanpa mengira faktor lain, pelantikan hakim besar Malaya harus diputuskan berdasarkan senioriti.
“Sangat mengecewakan apabila jawatan sepenting itu dalam pentadbiran keadilan di Semenanjung tidak diisi dengan segera selepas Zabidin bersara,” katanya.
Peguam A Srimurugan berkata, menugaskan Abang Iskandar memangku fungsi hakim besar Malaya ialah langkah sementara yang wajar.
“Memandangkan keadaan tidak dapat dijangka, agak memalukan bagi hakim Mahkamah Persekutuan untuk memangku tugas hakim besar Malaya namun kemudian tidak dilantik secara tetap,” katanya.