
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Menurut kenyataan itu, kajian yang akan dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak, bagi memastikan pelan tindakan yang diambil kerajaan dalam langkah intervensi ke atas penstabilan harga di negeri berkenaan berlandaskan data yang ada.
“Kerajaan persekutuan dan negeri kekal cakna mengenai isu harga barang serta perkhidmatan di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Agenda ini akan digerakkan melalui pendekatan senegara termasuklah penglibatan secara langsung kerajaan negeri, mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri dalam aspek tertentu melibatkan sektor makanan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kertas-kertas makluman dan pertimbangan berkenaan situasi pendapatan, perbelanjaan isi rumah, kadar inflasi, senario semasa serta trend kedudukan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang dibentangkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bahagian Harga Barangan Negara KPDN turut dibincangkan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri KPDN Armizan Mohd Ali, wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, ketua setiausaha KPDN, ketua pegawai eksekutif perbadanan Labuan, dan ahli jawatankuasa tersebut.
Dalam kenyataan sama, KPDN memaklumkan jawatankuasa itu ditubuhkan susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, supaya pendekatan dan kaedah terbaik dikenal pasti dalam memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak, dan Labuan.