
Aslam Haneef, profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata KWSP perlu terus memberi pulangan tinggi dan mempamerkan tadbir urus baik bagi menggalakkan bukan ahli mencarum.
Bukan pencarum mungkin mengutamakan pelaburan untuk mengejar pulangan lebih tinggi, tetapi menurutnya, KWSP adalah “pilihan paling selamat” buat pekerja.
“(Kita) perlu menerapkan nilai simpanan persaraan kepada rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ramai pekerja tidak mencarum dengan KWSP kerana gaji mereka terlalu rendah, khasnya di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dilaporkan berkata, kira-kira 40% daripada 17 juta tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi KWSP, dengan majoritinya pekerja sektor tidak formal, termasuk yang bekerja sendiri dan pekerja bebas.
Data KWSP menunjukkan pekerja bergaji minimum RM1,500, dengan kenaikan gaji tahunan 3%, dapat menyimpan sehingga RM479,000 apabila mereka berumur 55 tahun.
Baru-baru ini, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.5% untuk simpanan konvensional dan 5.4% bagi akaun syariah, lebih tinggi daripada 5.35% serta 4.75% pada 2022.
Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, pekerja tidak formal dengan pendapatan tidak konsisten dan berasaskan tugasan mungkin memilih pelaburan jangka pendek dengan pulangan tinggi.
“Berdasarkan sifat kitaran kerja mereka, mereka mungkin lebih bimbang dengan simpanan untuk masa tiada pekerjaan.”
Tetapi, katanya, pelaburan dengan pulangan tinggi seperti mata wang kripto dan asing berisiko serta tidak boleh diharapkan untuk jangka panjang.