BNM kekal OPR 3%

BNM kekal OPR 3%

Bank pusat dijangka mengekalkan kadar itu ketika inflasi dan pertumbuhan sederhana.

Bank Negara mengekalkan OPR pada 3% dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari sejak Julai 2023.
PETALING JAYA:
Bank Negara (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%.

Semalam, Standard Chartered Global Research berkata, bank pusat mungkin mengekalkan kadar itu dalam keadaan inflasi dan pertumbuhan sederhana.

BNM mengekalkan OPR pada 3% dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) sejak Julai 2023.

Kali terakhir BNM menaikkan kadar OPR daripada 2.75% kepada 3% pada Mei 2023 atas alasan keperluan “menormalkan penyesuaian monetari” dalam menghadapi ekonomi berdaya tahan serta menangani inflasi berterusan.

“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mampan dalam keadaan harga stabil.

Menurutnya, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan bertambah baik.

“Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan. Pada masa depan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik, manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran hartanah terus lemah.”

Katanya, perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit beberapa bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini.

“Bagaimanapun, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat dalam tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, terutamanya disebabkan ketegangan geopolitik semakin meruncing, inflasi sebenar lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.”

BNM berkata, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.7% tahun lalu dan pertumbuhan dijangka meningkat tahun ini didorong pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak Mac 2023 dan akan terus disokong perdagangan global lebih kukuh,” katanya sambil menambah ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.

Menurutnya, pertumbuhan guna tenaga dan upah berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan direalisasikan.”

Tetapi, prospek pertumbuhan bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada permintaan luaran lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi lebih besar.

“Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi, terutamanya berpunca daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi lebih besar, aktiviti pelancongan lebih giat serta pelaksanaan lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.”

Katanya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing pada 1.5% dan 1.8% Januari lalu, di mana trend ini selari jangkaan.

“Inflasi tahun ini dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan stabil dan tekanan kos terkawal. Tetapi, prospek inflasi terus sangat bergantung kepada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.

“Walaupun asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.”

Ia berkata, kerajaan dan BNM sedang menyelaras tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa balik serta menukar pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.

Menurutnya, langkah ini akan menyebabkan aliran masuk lebih besar, lantas memberi sokongan untuk nilai ringgit lebih kukuh. Dalam jangka sederhana, pembaharuan struktur berterusan akan memberikan sokongan lebih berpanjangan kepada ringgit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.