
S Joseph, 71, beritahu perkara itu ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan Abdul Hakim Karem, pada hari pertama perbicaraan saman kecuaian berhubung kematian anaknya, J Soosaimanicckam.
Terdahulu ketika pemeriksaan utama, Joseph berkata beliau buat laporan polis pada 20 Mei 2018, iaitu sehari selepas kematian anaknya, dengan mendakwa kakitangan tentera laut gagal memberikan rawatan awal kepada mangsa berusia 27 tahun itu.
“Tentera laut cuai terhadap keselamatan dan kebajikan anak saya yang sihat sebelum mendaftar untuk latihan itu,” katanya.
Zaid Malek dan Latheefa Koya selaku peguam mewakili keluarga si mati.
Pada 19 Mei 2021, keluarga itu memfailkan saman sivil berhubung kematian Soosaimanicckam dengan menamakan kerajaan dan 14 yang lain sebagai defendan.
Saman itu mendakwa defendan gagal memberikan rawatan cepat kepada si mati, selain dakwaan bahawa Soosaimanicckam didera beberapa pihak yang dinamakan dalam saman berkenaan.
Laporan bedah siasat menunjukkan Soosaimanicckam meninggal dunia akibat edema pulmonari.
Pada Jun tahun lalu, Koroner Ainul Shahrin Mohamad memberikan keputusan terbuka susulan inkues terhadap kematian itu. Menurutnya, beliau tidak dapat mengatakan secara konklusif bagaimana Soosaimanicckam meninggal dunia ketika menjalani latihan.
Beliau berkata, bukti dikemukakan ketika inkues mengandungi “banyak kemungkinan bercanggah” yang dapat menjelaskan kematiannya.
Latheefa beritahu FMT keluarga berkenaan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung esok.