Tulang dipercayai milik manusia ditemukan di rumah terbiar

Tulang dipercayai milik manusia ditemukan di rumah terbiar

Pasukan forensik polis menemukan 2 tulang bahagian paha, 2 tulang betis dan 2 tulang keting di kawasan rumah terbiar di Batu Pahat.

Ismail Dollah berkata, polis masih menunggu keputusan analisis DNA tulang-tulang itu daripada Jabatan Kimia Johor, yang dijangka mengambil masa sebulan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa tulang dipercayai milik manusia ditemukan di kawasan rumah terbiar di Jalan Besar Tongkang Pechah dekat Batu Pahat pada Rabu lepas.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata, susulan laporan orang awam mengenai kehadiran tulang-tulang itu, pasukan forensik dari IPK Johor bergegas ke lokasi.

Di lokasi, pasukan forensik menemukan dua tulang bahagian paha, dua tulang betis dan dua tulang keting, katanya.

Tambahnya, tulang-tulang itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Feb untuk analisis perbandingan DNA.

“Pihak polis masih menunggu keputusan laporan analisis daripada Jabatan Kimia Johor.

“Dijangka proses analisis kimia ini mengambil masa lebih kurang sebulan,” katanya, lapor Bernama

Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung tulang-tulang itu, dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar menghubungi IPD Batu Pahat di talian 07-4363300.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.