
Ceo Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito mengakui kadar tempahan bilik hotel yang tinggi ketika ini boleh menjadi salah satu indikator ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, membandingkan ketika pentadbiran PN sebelum ini adalah sia-sia kerana semua hotel ditutup pada waktu itu akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan dari Feb 2020 hingga Ogos 2021 ketika negara dilanda Covid-19 dan perintah larangan pergerakan dikuatkuasa.
Bercakap kepada FMT, Ferlito berkata situasi ketika itu juga tidak banyak perbezaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berkuasa.
“Ia tidak menjadikan banyak perbezaan. (Setiap kerajaan) cenderung menguatkuasakan perintah larangan pergerakan, walaupun ahli ekonomi memberi amaran ia akan menyebabkan kerosakan yang besar,” katanya.
“Penggunaan set data yang lebih tersusun dari persatuan hotel untuk membandingkan kadar tempahan hotel ketika ini dengan sebelum pandemik melanda akan memberikan pemerhatian yang lebih jelas. Perbandingan itu lebih adil.”
Ahli Parlimen kerajaan Aminolhuda Hassan baru-baru ini berkata tempahan bilik hotel yang penuh di Kuala Lumpur memberi gambaran rakyat “gembira” dengan prestasi kerajaan perpaduan.
Ahli Parlimen Sri Gading ketika membuat perbandingan itu berkata, rakyat terpaksa mengibar bendera putih untuk mendapatkan bantuan ketika pentadbiran PN kerana kekurangan makanan atau barangan asas.
“Jika kita masuk ke hotel, bilik semua penuh. Ini menunjukkan rakyat gembira,” katanya di Dewan Rakyat.
Semakan dengan Presiden Persatuan Hotel Malaysia Christina Toh mendapati lonjakan tempahan hotel di beberapa lokasi susulan musim perayaan dan cuti sekolah.
Toh berkata tempahan hotel di beberapa negeri mencapai hingga 80% manakala di beberapa negeri lain masih kekal rendah.
Syahir Sulaiman daripada PAS juga tidak bersetuju dengan kenyataan Aminolhuda dan berkata, situasi ekonomi ketika pentadbiran PN adalah sangat berbeza akibat pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, negara berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.
“Ya, rakyat berdepan kesukaran tetapi kerajaan ketika itu mendengar dan membantu mereka. Kami berusaha memastikan semua orang ada makanan di atas meja.
“Terdapat juga moratorium dan bantuan kewangan untuk perniagaan kecil dan sederhana,” katanya.
Syahir juga menuduh kerajaan ketika ini berada dalam keadaan penafian mengenai kebimbangan ekonomi oleh rakyat dan berkata, indikator ekonomi di lapangan patut digunakan untuk mengukur prestasi kerajaan.
Katanya, ini termasuk kuasa membeli rakyat daripada indikator ekonomi makro seperti pengeluaran produk domestik kasar, yang mungkin tidak mencerminkan realiti di lapangan.
“Pada akhirnya, rakyat akan tetap berbelanja tetapi penting untuk melihat sama ada mereka berbelanja menggunakan wang yang mereka perolehi atau pinjaman.”