
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata dalam semua perbincangan dengan pemimpin perniagaan dan eksekutif kanan syarikat Australia yang ditemui ketika mengadakan lawatan rasmi ke negara itu, prestasi ringgit langsung tidak disentuh sebaliknya mereka lebih berminat mengetahui perkara asas ekonomi lain seperti pasaran saham serta inflasi.
Menjawab soalan dilontar mengenai prestasi ringgit semasa pertemuan bersama diaspora Malaysia di sini, perdana menteri berkata penyusutan nilai ringgit dikatakan faktor membimbangkan, namun ia tidak menjejaskan keyakinan pelabur.
“(Penyusutan nilai ringgit) membimbangkan tetapi tidak merunsingkan,” katanya sambil menambah mata wang ringgit terikat dengan nilai kadar faedah di Amerika Syarikat, malah Gabenor Bank Negara Malaysia juga yakin ia akan mengukuh apabila terdapat aliran pelaburan ke negara ini.
“Jika tidak, kita tidak menerima pelaburan RM24.5 bilion dari Australia…(isu) ringgit langsung tidak mengganggu,” katanya merujuk komitmen pelaburan syarikat Australia yang dinyatakan kepada beliau di sini.
Anwar turut menegaskan bahawa pelaburan diluluskan di Malaysia pada tahun lalu ialah tertinggi dalam sejarah, justeru tidak munasabah pencapaian tersebut dilakar jika tiada keyakinan di pihak pelabur.
Beliau berkata, terdapat juga tindakan sementara bagi mengukuhkan ringgit antaranya melalui perdagangan Malaysia dengan China, yang tertinggi dengan kira-kira 25% dagangan adalah dalam mata wang tempatan.
“Jika kita boleh kembangkan lagi perdagangan dalam mata wang tempatan, ia akan membantu. Saya percaya dengan angka-angka pelaburan sebegini, ringgit akan menguat,” katanya.
Kepada soalan yang dikemukakan oleh seorang pelajar Malaysia di Australia, perdana menteri berkata kebenaran akan diberikan kepada penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam yang telah menamatkan pengajian untuk menimba pengalaman kerja di negara itu.
Anwar berkata, kebenaran itu boleh diberikan kerana beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan.
“Kita izinkan kalau ada peluang dan kesempatan untuk menimba pengalaman di Australia,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar Malaysia di Australia berbincang dengan penaja masing-masing untuk mendapatkan kebenaran bagi tujuan tersebut.