
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9 malam tadi.
Katanya, pihaknya kemudian menggerakkan beberapa jentera serta tujuh anggota ke tempat kejadian, iaitu di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai bermain bersama seorang rakan sebelum tergelincir ke dalam longkang dan hilang.
“Bapa mangsa yang menyedari anaknya tidak pulang seperti biasa terus bertanya kepada ibu bapa rakan anaknya yang bermain bersama-sama.
“(Beliau kemudian) menghubungi talian kecemasan 999 sejurus mengetahui perkara sebenar,” katanya, lapor Bernama.
Fairuz berkata, usaha pencarian awal dilakukan di sekitar kawasan mangsa terakhir dilihat, manakala operasi hari kedua hari ini melibatkan pencarian di sepanjang tali air.
Mayat mangsa kemudian ditemukan 5km dari lokasi dia dilaporkan jatuh, dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.