Rayuan akhir kes palsu dokumen Peter Anthony didengar 18 Julai

Rayuan akhir kes palsu dokumen Peter Anthony didengar 18 Julai

Bekas menteri Sabah sebelum ini gagal di peringkat Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya pada 18 April tahun lalu dan ini rayuan terakhirnya.

Pada 19 April tahun lalu Peter Antony memfailkan rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan dijatuhi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rayuan akhir bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan didengar pada 18 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Peguam Emile Ezra Md Hussain, yang mewakili Peter, 53, mengesahkan perkara itu.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan dijatuhi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Adun Melalap itu sebelum ini gagal di peringkat Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya pada 18 April tahun lepas dan ini merupakan rayuan terakhir beliau.

Peter, sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu telah membayar denda RM50,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.