
Menteri Besar Perlis Shukri Ramli, berkata jawatankuasa itu pada awal penubuhannya akan memfokuskan usaha bagi memudahkan kerjasama dalam sektor pelancongan terlebih dahulu, sebelum memberikan perhatian terhadap sektor pendidikan dan ekonomi.
“Kita tubuhkannya bagi memudahkan lagi hubungan antara (kerajaan negeri) Perlis dengan tiga wilayah ini, kita akan mulakan dengan pelancongan, kemudian Insya-Allah, kita akan masuk ke pendidikan dan ekonomi, perniagaan. Kita akan usaha ke arah itu (menubuhkan jawatankuasa bersama itu),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini selepas sesi interaksi berkaitan agenda pelancongan serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Selatan Thailand, sempena penganjuran Hari Media dan Pelancongan Selatan Thailand 2024 yang berlangsung dua hari bermula semalam.
Antara yang turut serta dalam sesi interaksi itu Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Wan Badariah Wan Saad dan pemain industri pelancongan bagi pihak Selatan Thailand.
Shukri berkata, sesi interaksi itu menjadi platform baik untuk kerajaan negeri mempromosikan tempat pelancongan di Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Beliau berharap, kesinambungan hubungan antara pemain industri pelancongan di Perlis dengan Selatan Thailand akan berterusan dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong dari negara jiran itu ke Perlis.
“Selama ini kita selalu dimaklumkan bahawa ramai pelancong dari Malaysia ke Thailand, kali ini kita alihkan pelancong Thailand ini untuk datang ke negeri Perlis khususnya, dan negara kita amnya,” katanya.
Shukri berkata, kerajaan negeri akan berusaha menghasilkan risalah berkaitan pelancongan di Perlis dalam Bahasa Thailand untuk memastikan rakyat Thailand memahami penerangan melalui risalah berkenaan sekali gus, menarik minat mereka melancong ke Perlis.