
Beliau berkata, statistik sama yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan turut mencatatkan kadar kemurungan dan kebimbangan (anxiety) tertinggi dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Justeru, katanya, badan sukan penting sebagai agen untuk membentuk masyarakat sihat dan aktif, selain berperanan sebagai pentadbir serta pendorong kepada prestasi atlet.
“Hal ini sebenarnya agak membimbangkan dan perlu ada intervensi semua pihak, termasuk peranan proaktif perlu dimainkan badan sukan yang kita ada ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam.
Menurutnya, badan sukan ini disarankan menganjur dan menyokong program sukan yang dapat meningkatkan gaya hidup aktif serta penyakit tidak berjangkit bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Pihak kami akan cuba sedaya upaya menyediakan ruang dan fasiliti terbaik untuk pembangunan aspek sukan, khususnya dalam usaha mewujudkan bandar sihat.”
Terdahulu, Zaliha menyampaikan bantuan kepada 86 badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjumlah RM282,000.
Beliau berkata, bantuan tersebut bagi kegunaan pentadbiran badan berdaftar dan bergiat aktif di Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 17 hingga 24 Ogos ini di Kuching, Sarawak, beliau berharap kontinjen Wilayah Persekutuan dapat memperbaiki pencapaian terdahulu.
“Saya mahukan semua badan sukan mempersiapkan atlet masing-masing untuk berada pada prestasi terbaik kerana hanya yang terbaik dan berpotensi untuk menghasilkan pingat sahaja akan dipilih untuk dihantar ke Sukma di Sarawak nanti.”
Dalam majlis sama, 47 pengurus pasukan dari Wilayah Persekutuan turut menerima watikah pelantikan ke Sukma.